Saturday, December 13, 2008

Punca-Punca Masalah Seks Rambang Di Kalangan Remaja dan Kesan-Kesannya

Saban hari isu mengenai seks rambang begitu hangat diperkatakan oleh media massa dan juga masyarakat setempat. Isu seks rambang bukanlah suatu isu yang baru terutama sekali di negara maju seperti Singapura yang merupakan negara yang kecil yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang bangsa, kaum dan juga agama. Perangkaan Kementerian Kesihatan Singapura dua tahun lalu menunjukkan kira-kira 600 belia antara 10 tahun dengan 19 tahun kini dijangkiti penyakit kelamin dengan hampir separuh merupakan belia Melayu. Di samping itu, lebih 400 belia Melayu di bawah usia 19 tahun telah menjadi ibu manakala lebih 430 remaja Melayu menjalani pengguguran dalam tempoh yang sama. Trend ini cukup membimbangkan masyarakat kita. Persoalannya,apakah punca-puncanya dan apakah kesan-kesan jangka panjangnya?

Punca perdana ialah kepincangan institusi keluarga. Dalam dunia yang serba kompetitif ini, ibu bapa terlalu taksub untuk mencari nafkah sehingga mengabaikan tanggungjawab dan amanah mereka kepada anak-anak. Lantaran itu, anak-anak ketandusan kasih sayang dan kurang diberi perhatian. Sesetengah ibu bapa juga terlalu memanjakan anak-anak dan tidak mahu menghampakan keinginan mereka. Oleh kerana kesuntukan masa untuk meluangkan waktu bersama anak-anak, ibu bapa kurang mengawal dan memantau aktiviti-aktiviti seharian anak-anak mereka. Masalah yang lain akan timbul akibat ibu bapa yang terlalu taksub mengejar harta dunia.

Punca kedua ialah kurang pendidikan agama. Masalah ini berpunca daripada ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak mereka dengan pengetahuan ukhrawi dan nilai-nilai murni bagi pembentukan sahsiah mereka. Kedangkalan pengetahuan agama telah menimbulkan masalah seks rambang lebih-lebih lagi dengan hasutan makhluk Allah yang diperbuat daripada api yang bertujuan untuk menyesatkan anak Adam daripada landasan kehidupan yang sebenar. Oleh kerana didikan agama yang kurang sempurna, para remaja tidak tahu membezakan antara yang halal dan yang haram dan tidak menitikberatkan larangan agama. Pendidikan agama yang sempurna dapat membanteras kelakuan tidak senonoh dan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja.

Seterusnya ialah pengaruh rakan sebaya. Tanpa pengawasan yang ketat daripada ibu bapa, anak-anak akan berasa bebas untuk bergaul dengan rakan sebaya baik lelaki mahupun perempuan. Mereka akan terjerumus ke dalam kancah maksiat sekiranya mereka bergaul dengan remaja yang rendah akhlaknya. Kebanyakan remaja masih mentah dan sifat ingin mencuba selalu menguasai diri mereka. Akibatnya, mereka mudah terpengaruh, terikut dan meniru kelakuan rakan sebaya yang memberi kesan-kesan negatif terhadap diri mereka. Rakan mempengaruhi sifat dan peribadi remaja ke arah keburukan tanpa ibu bapa untuk membimbing mereka dengan kasih sayang dan perhatian secukupnya.

Punca terakhir ialah pengaruh media massa. Media massa adalah jendela kepada ilmu pengetahuan dan infomasi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa memainkan peranan yang magnitud dalam menimba ilmu dan mencari maklumat. Namun, media massa juga dapat mendatangkan kesan-kesan buruk kepada seseorang remaja. Dalam dunia yang serba moden ini, kita dapat memperolehi maklumat dengan mudah dan cepat. Justeru, remaja lebih terdedah kepada isu-isu seks melalui media massa. Bahan-bahan lucah mudah diperolehi daripada internet untuk tontonan semua terutama sekali para remaja yang amat ghairah untuk mengetahui lebih dalam mengenai isu seks. Media massa juga tidak terlepas daripada menyiarkan rancangan yang berunsur seks dan pornografi seperti rancangan Hanyut, SEKsa, Anak Metropolitan dan lain-lain lagi.

Setelah menganalisa punca-punca masalah seks rambang, eloklah kita mengkaji kesan-kesan jangka panjangnya pula. Pertama ialah dari sudut kesihatan. Kesihatan remaja yang mengamalkan seks rambang akan terjejas dan mereka boleh di dihidapi penyakit Aids dan juga penyakit kelamin seperti gonorrhoea, syphilis dan herpes. Remaja yang menghidap penyakit-penyakit tersebut akan merana dan kemungkinan akan membawa maut kerana penyakit-penyakit ini tidak dapat dirawat atau dipulihkan. Para remaja ini juga pasti akan menyesal dengan perbuatan terkutuk mereka. Akhirnya selepas dijangkiti, baru lah mereka ingin kembali ke pangkal jalan.

Kesan selanjutnya ialah dari segi sosial. Kini kadar jumlah ibu tunggal semakin meningkat dan remaja yang terjebak terpaksa berhenti sekolah untuk menyara kehidupan. Disebabkan itu ramai remaja perempuan tercicir. Dengan pelajaran dan kelulusan yang rendah mereka tidak akan mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan. Mampukah mereka meneruskan kehidupan mereka setelah dipandang serong oleh masyarakat? Kadar pengguguran anak juga akan meningkat kerana kebanyakan pasangan remaja berfikir bahawa pengguguran ialah jalan penyelesaian yang mudah. Jika mereka menggugurkan kandungan, dosa mereka juga akan berlipat ganda kerana seks rambang adalah perbuatan yang dilarang dan “membunuh” kandungan yang tidak berdosa merupakan perbuatan yang dilaknat Tuhan. Selain kadar pengguguran, kadar remaja kahwin muda juga meningkat akibat masalah seks rambang.

Kesan seterusnya ialah imej dan ekonomi negara akan terjejas. Remaja-remaja yang mengandungkan anak luar nikah akan mencari jalan penyelesaian dengan menggugurkan kandungan mereka. Semakin ramai remaja melakukan seks rambang, semakin meningkat kadar pengguguran yang berlaku di Singapura. Dengan menggugurkan kandungan, ia akan meningkatkan kadar jenayah di Singapura. Imej Singapura akan turut terjejas . Warga asing juga tidak akan mahu berhijrah ke Singapura untuk mencari pekerjaan lagi dan ia akan menyebabkan kekurangan tenaga pekerja yang produktif. Oleh itu, industri pelancongan dan perhotelan negara terpaksa menanggung kerugian yang amat besar.

Yang mutakhir sekali, maruah keluarga tercemar hanya kerana masalah seks rambang yang dilakukan oleh anak-anak bak kata pepatah,”kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Perbuatan seks rambang mahupun melahirkan anak di luar pernikahan akan menconteng arang ke muka orang tua. Maruah keluarga akan tercalar akibat sikap anak-anak yang tidak bermoral dan melampaui batas. Secara otomatis, saudara-mara serta masyarakat akan memandang serong dan mempunyai tanggapan negatif terhadap keluarga yang tercemar itu. Keluarga tersebut terpaksa menanggung malu dan menderita akibat perbuatan anak yang menconteng arang di muka.

Berdasarkan perbincangan di atas jelaslah bahawa masalah seks rambang menimbulkan banyak implikasi negatif bukan sahaja kepada diri remaja itu sendiri dan masa hadapannya malah ia juga menjejaskan maruah keluarga, saudara-mara, masyarakat dan juga negara. Untuk mengatasi kemelut ini Kempen Keseksualan Remaja harus diadakan dengan lebih kerap agar kesedaran masyarakat khususnya remaja yang berisiko tinggi dapat dipertingkatkan agar mereka mampu mengawal diri mereka daripada godaan seks rambang. Sekolah-sekolah juga boleh memainkan peranan proaktif dengan mewajibkan pendidikan seks di peringkat rendah lagi agar remaja lebih peka akan isu seks dan menyedari keburukan-keburukannya. Insya Allah dengan kerjasama semua pihak, saya percaya masalah ini dapat dikurangkan walaupun saya akur bahawa masalah kompleks ini amat sukar untuk dihapuskan sama sekali.

Siti Nurlia Bte Ahmad Subari
Menengah 4 Topaz
Sekolah Menengah Dunearn



1 comment:

  1. Perbincangan yang menarik dan meyakinkan.Tersusun kemas kandungan isinya dan ayat-ayat cukup gramatis dan terserlah penguasaan bahasanya.

    ReplyDelete