Saya bersetuju dengan penyataan tersebut tetapi tidak seratus peratus. Memang tidak dinafikan bahawa budaya berhutang semakin berakar umbi dalam masyarakat Singapura. Alasan prima ialah semakin ramai rakyat Singapura yang jatuh muflis. Bukti ini mencerminkan dengan jelas hakikat bahawa budaya berhutang semakin berakar umbi. Ada dalam kalangan masyarakat Singapura sekarang yang tidak tahu membezakan antara keperluan dan kemahuan. Akibatnya, mereka membeli barangan-barangan yang mereka tidak perlukan. Kadar inflasi yang semakin meningkat juga menyebabkan ramai rakyat berhutang keliling pinggang. Kadar GST yang meningkat sehingga tujuh peratus turut menjadi pemangkin kepada kemelut ini. Apabila harga barangan meningkat, rakyat yang mempunyai taraf sosio-ekonomi yang rendah tidak dapat menampung kos perbelanjaan, dan terpaksa meminjam wang. Mereka akan berhutang jika tidak mempunyai wang untuk memulangkan pinjaman itu.
Alasan kedua ialah penggunaan kad kredit. Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai rakyat Singapura yang menggunakan kad kredit bagi membuat pembayaran. Mereka yang bersikap materialistik dan berteraskan nafsu kebendaan akan membeli benda-benda yang berjenama, seperti beg Louis Vuitton, jam tangan Rolex dan sebagainya. Barang-barang berjenama ini sudah tentunya tidak murah dan seringkali, mereka akan berhutang dengan bank. Tambahan pula, apabila mereka berhutang dengan bank, mereka juga perlu membayar kadar bunga yang dikenakan setiap bulan. Jika jumlah hutang mereka besar, bunga yang harus mereka bayar juga amat tinggi. Kadangkala, orang ramai mendapatkan barang-barang berjenama hanya untuk menunjuk- nunjuk kemewahan mereka. Inilah kealpaan manusia; mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka akan membawa kemudaratan.
Alasan ketiga ialah ada dalam kalangan masyarakat singapura yang mengamalkan tabiat perjudian. Sindrom perjudian ini bertambah buruk dengan adanya kemudahan 4D, Toto dan rumah-rumah perjudian yang haram. Apabila kekurangan wang, mereka akan cuba meminjam wang daripada sumber-sumber seperti tailong, yang hanya akan menimbulkan lebih masalah. Ada juga di antara mereka yang membuat pelaburan dalam skim cepat kaya kerana mereka berfikir bahawa inilah cara yang paling cepat untuk mendapatkan wang. Tetapi perkara sebegini hanya bergantung pada nasib. Jika nasib mereka malang, mereka akan kehilangan lebih banyak wang. Hal ini akan menyebabkan mereka berhutang dan kekal dalam lingkaran kemiskinan.
Namun demikian, bukan semua rakyat Singapura yang mengamalkan budaya berhutang. Hal ini kerana hanya segelintir masyarakat Singapura yang gemar berhutang. Ramai juga dalam kalangan masyarakat Singapura yang boleh mengawal diri dengan lebih baik lagi. Mereka faham bahawa berhutang akan menimbulkan banyak masalah, sebab itulah mereka berfikir ia lebih baik untuk menanggung masalah mereka sendiri daripada berhutang. Ada juga di antara mereka yang tidak mahu berhutang kerana agama mereka tidak menggalakkan amalan berhutan.
Kedua, budaya berhutang tidak begitu digalakkan dalam masyarakat Singapura. Hal ini kerana pihak pemerintah telah memberitahu rakyat singapura bahawa berhutang akan menimbulkan banyak masalah, dan tabiat itu tidak patut diintegrasikan dalam diri seseorang itu. Mereka yang lebih berpendidikan dan berfikiran matang pun tahu akan kebaikan dan keburukan yang boleh timbul daripada berhutang. Jika mereka tahu akan kebaikan dan keburukannya, maka mereka tidak akan berhutang dan tidak akan dibelenggu dengan masala.
Akhir sekali, ada dalam kalangan rakyat Singapura yang ingin berdikari. Mereka yang mantap dari segi ekonomi sudah tentu tidak memerlukan bantuan. Ada juga dalam kalangan mereka mereka yang tidak mahu berhutang kerana ingin menyelamatkan maruah mereka dan keluarga mereka. Jika mereka meminta bantuan, ia akan menunjukkan bahawa mereka tidak berkemampuan dan harus bergantung pada pertolongan yang dihulurkan oleh pihak lain. Mereka terlalu egoistik dan lebih rela menderita daripada meminta bantuan.
Kesimpulannya, budaya berhutang bukanlah semakin berakar umbi dalam masyarakat Singapura kerana ada di antara mereka yang tidak mengamalkan tabiat itu. Pihak pemerintah patut mengambil langkah yang pragmatik dan proaktif supaya dapat budaya ini dapat dikikis draipada masyarakat kita. Tetapi, masalah ini hanya boleh diatasi dengan kerjasama, komitmen dan pengertian serius dari semua pihak. Adalah diharapkan bahawa masyarakat Singapura dapat menganjak paradigma mereka dan tidak terlalu gairah memburu kemewahan kerana inilah anasir-anasir yang akan meenyumbang kepada masalah ini. Pihak pemerintah boleh mengadakan kempen-kempen untuk meningkatkan kesedaran rakyatnya tentang masalah-masalah yang boleh timbul daripada budaya berhutang. Budaya berhutang tidak harus dijadikan gaya hidup rakyat Singapura kerana amalan ini akan menjejas kehidupan rakyat. Dengan kerjasama semua pihak saya yakin masalah ini akan menipis dan bilangan rakyat yang jatuh muflis akibat berhutang akan berkurangan.
Fatin Nuratiqah Abdul Rashaid
Menengah 4 Opal
Sekolah Menengah Dunearn
No comments:
Post a Comment