Saturday, December 13, 2008

Kepincangan Institusi Keluarga Merupakan Faktor Utama Yang Menyebabkan Masalah Keciciran Pelajar. Bincangkan.


Cabaran gobalisasi yang serba menghimpit menyebabkan warga Singapura terutama sekali ibu bapa sibuk dan taksub mencari harta duniawi sehinggakan mereka alpa dan lalai dengan tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah bagi membimbing anak-anak mereka menuju ke landasan kejayaan. Akibat terlalu sibuk mencari nafkah bagi memenuhi tuntutan hidup mereka tidak meluangkan banyak masa untuk keluarga terutamanya anak-anak. Implikasinya, anak-anak terutama sekali anak remaja akan berasa diketepikan dan tidak secara langsung mereka akan terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat seperti merokok, melepak dan sebagainya. Remaja zaman ini juga mementingkan budaya hedonisme yang mementingkan keseronokan yang tidak kekal bak kata pepatah Melayu “bagakan embun di hujung rumput’. Keciciran dalam kalangan pelajar telah menjadi keprihatinan Menteri Pendidikan, Encik Tharman Shamugaratnam. Ia telah menyebabkan kontroversi mutakhir ini. Persoalannya adakah kepincangan institusi keluarga satu-satunya faktor yang menyebabkan masalah keciciran pelajar? Mari kita menganalisanya isu yang menjadi buah bicara masyarakat setempat.


Memang tidak dinafikan bahawanya kepincangan institusi keluarga menyebabkan masalah keciciran pelajar tetapi ia masih boleh diperdebatkan. Keluarga meupakan unit terkecil dalam sesebuah masyarakat. Sebab perdana yang menyebabkan keciciran pelajar adalah ketandusan kasih sayang dan kurang perhatian daripada ibu bapa. Remaja memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka. Sayangnya ibu bapa zaman kini terlalu taksub mencari wang dan jarang meluangkan masa untuk anak-anak mereka. Sementelahan pula, kebanyakan ibu bapa pada zaman ini mementingkan kebendaan daripada anak-anak mereka sendiri. Ini menyebabkan anak-anak berasa diketepikan. Justeru, anak-anak berasa tertekan dan berhenti sekolah untuk mendapatkan perhatian daripada ibu bapa.


Keluarga yang porak-peranda juga turut menyumbang kepada masalah keciciran pelajar. Institusi keluarga yang porak-peranda dan bermasalah boleh menjejas sahsiah seseorang individu itu, Misalnya, jikalau ibu bapa sering bertengkar di rumah, anak-anak mereka akan berasa tertekan yang amat sekali dan sekaligus menjejas prestasi seseorang itu dari segi pelajaran. Implikasinya, anak-anak tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana fikiran mereka terganggu dan ini boleh menyebabkan keciciran.


Yang lebih menyedihkan ialah masalah kewangan juga menjadi hambatan dan penghalang kepada kemajuan para pelajar dan mendorong para pelajar untuk berhenti sekolah dan tercicir daripada arus persekolahan. Walaupun secara umum, Singapura merupakan sebuah negara yang makmur dari segi kewangan tetapi masih ada segelintir rakyat Singapura yang mempunyai masalah kewangan yang runcing. Kegawatan ekonomi telah menyebabkan golongan yang berpendidikan rendah dibuang pekerjaan. Akibat desakan hidup keluarga yang mempunyai taraf sosio-ekonomi yang rendah terpaksa memberhentikan anak-anak mereka daripada sekolah kerana ibu bapa mereka tidak mampu membayar yuran persekolahan anak-anak.


Namun, masalah keciciran bukan seratu peratus berpunca daripada kepincangan institusi keluarga tetapi terdapat faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kemelut tersebut. Antara pemangkinnya ialah media massa. Media massa adalah jendela kepada ilmu pengetahuan. Melalui media massa kita boleh mengetahui perkembangan dan pergolakan yang berlaku di seluruh dunia. Malangnya golongan remaja pada zaman ini telah menyalahgunakan saluran informasi ini dengan meniru-niru budaya negatif yang berpaksikan kebendaan. Lama-kelamaan remaja ini hilang minat kepada pelajaran lantas tercicir dari persekolahan.


Bak kata pepatah “tepuk dada tanya selera”. Sikap individu juga menyumbang kepada keciciran pelajar. Remaja zaman kini mementingkan budaya hedonisme yang berkiblatkan kebendaan. Golongan ini sering menuding jari ke arah ibu bapa dan menyalahkan ibu bapa bila mereka melakukan kesalahan. Bukankah remaja ini dikurniakan akal untuk berfikir? Mengapakah ibu bapa yang dipersalahkan sedangkan remaja itu sendiri dikurniakan dengan akal fikiran untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Remaja haruslah menganjakkan paradigma terhadap pelajaran. Masa depan mereka terletak di tangan mereka sendiri dan bukan ibu bapa.

Natijahnya, kepincangan institusi keluarga merupakan punca utama masalah keciciran pelajar tetapi terdapat faktor-faktor lain yang turut memainkan peranan. Untuk mengatasi masalah ini semua pihak termasuklah pemerintah, ibu bapa dan guru-guru harus menggembleng tenaga untuk mengatasi masalah ini. Penubuhan Sekolah Menengah Northlight merupakan salah satu langkah yang dapat dilakukan untuk mengurangkan masalah keciciran. Sekiranya remaja bersikap positif dan optimistik saya percaya suatu hari ini masalah keciciran dalam kalangan pelajar akan berjaya dikurangkan.

Nur Khairunnisa Bte Hamzah
Menengah 4 Opal
Sekolah Menengah Dunearn

No comments:

Post a Comment